National Water Research Institute of Malaysia

Bernama

Air Naik Dengan Cepat, Pindah Sebelum Air Masuk Rumah - Mangsa

22 February 2026

Bernama

TAWAU, 22 Feb (Bernama) -- Penduduk Kampung Tanjung Batu Keramat di sini mengambil

inisiatif menyelamatkan diri dengan keluar rumah lebih awal kerana khuatir kediaman

mereka yang berdekatan Sungai Tawau dimasuki air berikutan hujan lebat berterusan

semalam.


Sia Umbing, 74, berkata dia terjaga daripada tidur pada 10 malam selepas dihubungi anak

perempuannya dari Lahad Datu yang meminta dia melihat keadaan di luar rumah pada

waktu itu.


"Apabila saya buka pintu, air sudah tinggi di tangga, syukur rumah saya bertiang, kalau saya

turun, air itu memang sampai paras dada. Saya tahu, kawasan ini selalu banjir tetapi

keadaan air semalam itu pertama kali begitu, air pasang bertemu hujan lebat, ketika itu saya

tinggal bersama dua cucu.

"Saya hanya berdoa sambil menunggu bantuan tiba, bantuan diurus oleh ketua kampung

dan kami menaiki perahu bomba ke tempat selamat. Pada 3 pagi tadi kami ditempatkan di

pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kompleks Sukan Tawau ini," katanya kepada

Bernama di sini hari ini.


Sia turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu ujian pada Ramadan yang menguji

kesabaran selain menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuka PPS dan

menyediakan makanan untuk mangsa.


Bagi Arbain Jafar, 69, pula dia serta keluarga segera keluar rumah selepas menyedari air

mendadak naik sehingga ke tangga dan keadaan hujan lebat menambah kebimbangan jika

tinggal di rumah.


"Banjir belum memasuki rumah tetapi saya bimbang, sebab paras air naik itu tidak sama

seperti sebelum ini. Biasanya air naik mencecah dua anak tangga, kemudian turun tapi

semalam sedikit lagi masuk rumah, jadi saya risau kalau kami tunggu di rumah sehingga

subuh dikhuatiri banjir masuk rumah.


"Jadi semalam saya, isteri serta tujuh anak kami selamat dengan menaiki bot bomba,"

katanya.

Arbain berkata pengalaman Ramadan kali ini berbeza kerana bersahur dan berbuka di PPS,

sekali gus berdoa keadaan banjir tidak berlanjutan.


Setakat 12 tengah hari tadi, PPS Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau menempatkan

245 mangsa membabitkan 55 ketua isi rumah terjejas banjir di Kampung Tanjung Batu

Keramat.


-- BERNAMA