KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di sekitar ibu negara serta Selangor mengalami banjir kilat termasuk kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, selain penutupan Lebuhraya Smart Expressway (SMART) sebagai persediaan operasi banjir.
Menerusi kemas kini dibuat di platform sosial Bencana2024, bencana itu mengakibatkan beberapa kenderaan terkandas berdekatan kawasan perumahan disebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang.
Antara kawasan lain yang terjejas akibat banjir di ibu negara kawasan sekitar Parlimen termasuk Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman (Kuala Lumpur); susur Jalan Duta dan Jalan Sultan Abdul Halim, kampus Universiti Malaya, Wisma Central dan Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Shah Alam.
Menerusi laman sosial rasmi SMART, pengguna dinasihatkan memandu berhati-hati, merancang perjalanan anda dan mematuhi arahan lalu lintas.
Dalam pada itu, menerusi kemas kini dibuat di platform sosial Bencana2024, beberapa kenderaan terkandas berdekatan kawasan perumahan Taman Melawati disebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Integrated Transport Information System (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hantaran di media sosial oleh orang awam, beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dinaiki air menyebabkan aliran trafik terganggu antaranya di Jalan Parlimen menghala ke Bukit Aman, Jalan Perak dan Lebuhraya Sultan Iskandar.
Selain itu laluan masuk ke Wisma Bernama dari arah Jalan Tun Razak turut dinaiki air dan kedengaran sistem penggera keselamatan di Sungai Bunus menandakan paras bahaya.
Sementara itu laman X, Smart Expressway memaklumkan bahawa terowong smart ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna dan operasi banjir sedang dijalankan.
"Pengguna Terowong SMART dinasihatkan memandu dengan berhati-hati. Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan lalu lintas," menurut hantaran itu.
Susulan itu juga Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selama 30 minit selepas ramai Ahli Parlimen terperangkap susulan beberapa laluan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dalam satu perkongsian di Facebook hari ini, berkata beliau antara yang terperangkap dalam kesesakan akibat kejadian banjir kilat.
"Assalamualaikum dan selamat pagi semua, saya dalam perjalanan ke sidang Dewan Rakyat pagi ini, keadaan lalu lintas di kawasan Parlimen amat sesak akibat banjir kilat.
"Hati-hati yang memandu terutamanya kepada penunggang motosikal, saya tengok tadi ramai yang terpaksa berteduh sementara tunggu hujan reda," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, DBKL turut menasihatkan warga kota supaya memandu dengan cermat dalam keadaan hujan dan jalan yang licin.
"Jaga jarak selamat, tingkatkan jarak kenderaan supaya ada masa untuk berhenti dengan selamat jika berlaku kecemasan.
"Elakkan memotong lajur, kesesakan semasa hujan boleh menyebabkan kenderaan bergerak secara perlahan dan elakkan menukar lorong tanpa perlu," katanya.