KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan serta memperluaskan penggunaan air tebus guna bagi kegunaan industri termasuk pusat data, bagi memastikan pertumbuhan pelaburan digital negara tidak menjejaskan bekalan air untuk kegunaan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof, berkata penggunaan air tebus guna mula dilaksanakan di Johor menerusi kerjasama antara Indah Water Konsortium (IWK) dan operator bekalan air negeri, manakala pendekatan sama dirancang di Selangor serta Negeri Sembilan.
Beliau berkata, air untuk kegunaan domestik dan industri perlu dibezakan, dengan sektor industri digalakkan menggunakan air yang diproses semula daripada air buangan bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat.
"Untuk industri, kita mahu menggalakkan penggunaan air yang dikitar semula daripada air buangan yang diproses semula, bukan air terawat untuk kegunaan pengguna," katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDET) 2026 yang diadakan di sini, hari ini.
Fadillah berkata, kerajaan juga akan memastikan sebarang pelaburan pusat data baharu yang diluluskan di negara ini memenuhi syarat keupayaan bekalan tenaga dan air serta memberi pulangan ekonomi kepada negara.
Beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ditubuhkan bagi menilai jenis pusat data yang sesuai dibawa masuk ke Malaysia selain memastikan penggunaan tenaga dan air berada pada tahap optimum.
"Kerajaan hanya akan meluluskan pelaburan baharu jika terdapat kapasiti bekalan tenaga dan air yang mencukupi. Negeri-negeri juga akan memastikan perkara itu dinilai sebelum sebarang projek, termasuk pusat data dan kilang, diluluskan, tanpa menjejaskan keperluan rakyat," katanya.
Beliau berkata, pasukan petugas itu yang turut disertai kementerian dan agensi berkaitan kini sudah beroperasi, manakala beberapa negeri termasuk Johor telah memulakan mekanisme penyelarasan masing-masing bagi mengurus kemasukan pelaburan pusat data.
"Kerajaan mahu memastikan pusat data yang dibawa masuk menggunakan teknologi terkini, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan," katanya.
Selain itu, kerajaan akan menjalankan kajian komprehensif bagi menyediakan asas dasar dan infrastruktur yang diperlukan ke arah penggubalan Dasar Tebus Guna Air Kebangsaan dengan penglibatan kerajaan Persekutuan, negeri, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).