GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan
memasang dua saluran paip utama berdiameter 1.8 meter (m) bagi menyalurkan lebih
banyak air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Daerah Barat Daya (DBD) di
bahagian pulau, sebagai langkah memperkukuh bekalan air menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata projek itu merupakan
komponen penting Fasa Tiga Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030), yang dianggarkan
menelan kos keseluruhan kira-kira RM416 juta.
Saluran paip pertama akan menghubungkan LRA Sungai Dua ke lokasi sambungan Projek
Paip Berkembar Dasar Laut Pulau Pinang Ketiga (PTSP ketiga) di Butterworth, melibatkan
jajaran kira-kira 13 kilometer di tanah besar.
"Saluran paip kedua pula akan menghubungkan 'lokasi pendaratan' PTSP ketiga di kawasan
Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar, sejauh kira-kira 3.9
kilometer di bahagian pulau.
"Dua saluran paip itu penting untuk membolehkan kita mengepam lebih banyak air terawat
dari Sungai Dua ke pulau, khususnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat
di kawasan Barat Daya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak
projek itu di Solok Tengku, di sini hari ini.
Pathmanathan berkata permintaan air di DBD dijangka meningkat ketara daripada 202 juta
liter sehari (JLH) pada tahun lepas kepada 301 JLH menjelang 2030, iaitu peningkatan hampir
50 peratus didorong oleh projek pembesaran kilang, pembangunan hartanah serta
pembangunan Penang Silicon Island.
Kerja pemasangan saluran paip baharu dari Macallum ke Bukit Dumbar dijadual bermula
bulan ini, dan dijangka siap menjelang Mei 2027.
Beliau berkata projek sepanjang 3.9 kilometer itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dan
untuk fasa pertama telah ditender, manakala fasa kedua akan ditender selepas semua isu
teknikal dan pengambilan tanah selesai.
Pada masa ini, kira-kira 400 juta liter sehari air disalurkan ke bahagian pulau, dan dengan
siapnya saluran paip khusus ini kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada sekitar 600 juta liter
sehari.
"Satu lagi komponen penting projek ialah pembinaan paip sepanjang kira-kira 13 hingga 14
kilometer di tanah besar dari Sungai Dua ke Butterworth, yang kini dalam peringkat
perancangan jajaran," katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan WCP 2030 bernilai RM2.1 bilion dilaksanakan bagi
mengoptimumkan sumber air mentah, meningkatkan kapasiti rawatan air serta
mengurangkan kebergantungan kepada LRA Sungai Dua.
-- BERNAMA