KOTA KINABALU: Lapan telaga tiub yang dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang siap pada tahun lalu sudah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menangani isu kekurangan bekalan air di universiti itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata semua telaga tiub terbabit berfungsi dengan baik untuk membekal air ke kediaman pelajar, namun kapasiti yang dikeluarkan terhad dan tidak mampu menampung keperluan.
Katanya, kemudahan itu memerlukan tempoh pemulihan yang agak lama, iaitu antara empat hingga enam jam setelah air yang dipam habis digunakan, sebelum ia dapat dipam semula untuk diproses dan di salurkan ke kediaman pelajar.
"Telaga tiub berfungsi dengan baik, cuma ia ada 'recovery rate' dan sekarang ini ada beberapa tempat memang bergantung dengan bekalan air dari telaga tiub itu.
"Jadi kadang-kadang sumber airnya pun habis dan perlu pemulihan dalam masa hingga enam jam supaya dapat diisi balik dan ia adalah untuk digunakan pelajar," katanya selepas meninjau isu bekalan air di universiti itu, di sini, semalam.
Pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri bagi membina enam telaga tiub, manakala tambahan dua lagi telaga tiub atas inisiatif KPT, dengan semua projek siap pada Julai tahun lalu.
Projek itu yang mampu menjana lebih satu juta liter air sehari (JLS) dilaksanakan selepas pelajar UMS mengadakan demonstrasi isu air di hadapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika lawatannya ke UMS pada akhir 2023.
Sebelum ini dilaporkan masalah air kembali menghantui pelajar UMS hingga terpaksa menadah air hujan untuk mandi dan mencuci berikutan bekalan air yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak sampai secukupnya untuk menampung keperluan ribuan warga kampus UMS.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata tinjauannya bersama Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, semalam mendapati tangki utama yang menempatkan air disalurkan JANS pada paras yang rendah.
"Daripada lawatan kami di tangki utama memang bekalan air agak kurang. Jadi saya mohon kepada pihak JANS supaya memberi keutamaan kepada UMS dalam pengagihan bekalan air.
"Sebab sekarang ini pelajar sudah kembali selepas curi Hari Raya. Jadi proses pengajaran, pendidikan akan berterusan dan kita minta supaya bekalan air ke UMS diutamakab untuk keselesaan pelajar," katanya yang turut mengingatkan pelajar UMS supaya bersabar dan tidak memburukkan nama universiti berikutan usaha sedang diambil bagi membantu mengatasi masalah itu secepat mungkin.