National Water Research Institute of Malaysia

Berita Harian

Tragedi kepala air: JPS pasang siren amaran banjir di Sungai Slim

24 August 2024

Berita HarianMuhamad Lokman Khairi

SLIM RIVER: Siren amaran banjir akan dipasang di Sungai Slim, di sini sebagai langkah berjaga-jaga, selain membantu penduduk beberapa kampung di sekitarnya untuk bersiap sedia sekiranya kejadian kepala air berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata untuk itu permohonan akan dibuat Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB).

Katanya, penyediaan siren amanan banjir menjadi kepentingan kerajaan negeri bagi mengelak terjadi kemalangan jiwa membabitkan penduduk kampung serta pengunjung tapak di rekreasi berhampiran.

ADVERTISING

"Apabila sudah mula ada kepala air, wujud risiko pada masa akan datang mengenai musibah ini berlaku lagi... jadi kita kena ada usaha untuk beritahu orang kampung dan pengunjung demi keselamatan mereka," katanya selepas meninjau runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini, hari ini.

Semalam, muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Geliting di Ulu Slim pecah menyebabkan berlaku kepala air yang turut mengakibatkan Jambatan Lama Sungai Slim runtuh.

Kos jambatan baharu lebih RM12 juta

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata pembinaan jambatan kekal merentasi Sungai Slim bagi menggantikan struktur yang runtuh dijangka membabitkan kos lebih RM12 juta.

Mengambil contoh pembaikan Jambatan Enggor di Kuala Kangsar sepanjang 13 meter yang runtuh Mei tahun lalu, beliau berkata kos pembinaan jambatan baharu menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim yang panjangnya 77m pastinya jauh lebih tinggi.

"Saya akan cadangkan kerajaan negeri untuk sediakan peruntukan atau kita akan mohon peruntukan daripada kerajaan pusat melalui Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang.

"Jika proses ini dapat dipercepatkan, maka dapatlah kita peruntukan lebih cepat dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan usahakan membina semula jambatan segera," katanya.

Menyentuh pembinaan jambatan Bailey diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pagi tadi, Mohammad Nizar berkata kajian terhadap struktur tanah perlu dilakukan terlebih dahulu bagi menentukan kesesuaian lokasi jambatan itu nanti.