Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Gob, di sini, terputus hubungan apabila berlaku tanah runtuh, selain jambatan kayu di Kampung Santeg rosak teruk susulan hujan lebat semalam.
Kejadian turut menyebabkan sekumpulan penduduk Orang Asli kaum Temiar yang ingin pulang ke perkampungan mereka terkandas dan terpaksa bermalam di dalam hutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata beliau menerima aduan penduduk melalui aplikasi 'WhatsApp' pagi ini.
"Pagi tadi saya menerima mesej daripada penduduk terdapat tiga tempat berlaku tanah runtuh dan satu jambatan hampir runtuh.
"Malah, saya dimaklumkan paras air Sungai Puian juga semakin meningkat sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengangkat motosikal untuk merentasi sungai itu.
"Sebagai wakil rakyat, saya risaukan keselamatan mereka apabila ada yang terpaksa bermalam di dalam hutan belantara dan berhadapan risiko haiwan liar terutama gajah liar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Azmawi Fikri berkata tindakan segera akan diambil bagi membantu penduduk Orang Asli di pedalaman ini yang kini terputus hubungan.
Beliau turut menasihatkan semua penduduk di Pos Gob supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri serta keluarga selain tidak menghampiri laluan berisiko tanah runtuh.
"Kita juga harap pihak kontraktor dapat membantu membersihkan jalan raya bagi membolehkan ia digunakan penduduk buat sementara waktu.
"Saya sendiri akan berbincang dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk bantuan awal sebelum Monsun Timur Laut (MTL) bermula yang dijangka bulan hadapan," katanya.