National Water Research Institute of Malaysia

Berita Harian

'Kejadian kepala air ada kaitan aktiviti manusia di hulu sungai'

25 August 2024

Berita HarianMuhamad Lokman Khairi

SLIM RIVER: Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berpandangan kejadian kepala air di Sungai Slim, di sini, yang berlaku Jumaat lalu mungkin ada kaitan dengan aktiviti manusia pada peringkat hulu sungai.

Beliau berkata, kepala air yang terjadi secara semula jadi tidak sepatutnya menghanyutkan sisa kayu dan pokok dalam kuantiti banyak sehingga boleh meruntuhkan tiga jambatan merentasi sungai terbabit.

Katanya, aktiviti manusia itu tidak semestinya merujuk aktiviti pembalakan, sebaliknya ia mungkin membabitkan pembukaan tanah secara tidak terkawal untuk aktiviti pertanian dan pencerobohan rizab sungai yang menyebabkan kawasan tanah tidak lagi dilitupi pokok serta terdedah kepada hakisan air hujan.

"Aktiviti manusia ini tidak semestinya baru berlaku, boleh jadi ia berlaku setahun atau lima, enam bulan lalu yang mana terdapat sisa pokok ditinggalkan.

"Apabila berlaku kadar curahan hujan yang tinggi, tanah yang terdedah itu akan terhakis menyebabkan sisa pokok ditinggalkan turut hanyut masuk ke alur sungai lalu mengakibatkan pemendapan bahan yang diangkut sehingga mengubah struktur sungai.

"Kita tidak boleh nafikan kejadian kepala air adalah fenomena semula jadi, tetapi ia juga boleh dipengaruhi aktiviti manusia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengesahan terhadap aktiviti manusia itu hanya boleh didedahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, Meor Razak menggesa setiap pejabat tanah dan daerah (PTD) tidak menutup sebelah mata terhadap individu yang menceroboh kawasan tanah rizab sungai berdasarkan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

"Rizab sungai penting sebagai zon penampan, kalau diganggu pasti akan berlaku hakisan di tebing sungai dan merosakkan struktur sungai.

"PTD kena ambil langkah penguatkuasaan yang tegas dan jangan sesekali berkompromi.

"Biar semua orang sedar kepentingan memelihara dan memulihara kawasan tanah rizab sungai," katanya.

Kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara merujuk kepada mana-mana orang tanpa kuasa yang sah menduduki, mendirikan bangunan, membersih, menggali, mengepong, menanam, memotong atau mengalihkan apa-apa kayuan dari mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab atau tanah lombong.

Jumaat lalu, muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah menyebabkan kejadian kepala air yang mengakibatkan 175 mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), selain 21 orang terperangkap di Taman Eko RISDA sebelum berjaya diselamatkan bomba kelmarin.

Kejadian kepala air itu turut mengakibatkan Jambatan Lama Sungai Slim yang menjadi saksi pertempuran tentera Jepun dan British pada 1942 hingga mendapat jolokan jambatan 'Battle of Slim' runtuh akibat tidak dapat menahan tekanan daripada kayu balak yang hanyut bersama aliran air banjir.

Kejadian itu turut mengakibatkan Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda turut runtuh.