GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli Pos Pasik mendakwa Sungai Temer yang menjadi sumber pendapatan mereka mencari hasil sungai dan sumber minuman, tercemar akibat aktiviti pembalakan di hulu sungai.
Penduduk mendakwa sejak lebih sebulan lalu apabila setiap kali hujan mereka tidak dapat ke sungai untuk menjala ikan kerana air sungai keruh dan kotor.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin berkata sungai itu juga menjadi sumber air kepada penduduk Orang Asli suku Temiar di pos terbabit.
Sejak Jun lalu mereka terpaksa berhadapan dengan masalah sungai yang keruh dan kotor apabila hujan.
"Saya difahamkan ada aktiviti pembalakan di ulu sungai sejak lebih sebulan lalu. Aktiviti pembalakan yang sedang berjalan di kawasan berhampiran hulu sungai itu menyebabkan air keruh dan kotor apabila hujan.
"Sudah pasti keadaan ini memberi kesan kepada kami penduduk di sini, tambahan lagi apabila sungai ini menjadi sumber pendapatan kami mencari ikan.
"Ia juga menjadi sumber air untuk kegunaan harian kami di sini. Namun sejak air mula keruh kami sudah tidak dapat menggunakan air sungai dan kanak-kanak juga terkesan kerana tidak dapat mandi sungai pada waktu petang," katanya.
Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Pos Pasik, Aznan Siam, pula berkata pembalakan turut memberi kesan jangka panjang apabila kawasan yang ditebang akan ditanam pokok getah dan sawit.
Aktiviti pertanian secara berskala besar seperti pembukaan ladang getah atau sawit akan menyebabkan air sungai semakin tercemar.