Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan apabila 2,194 mangsa daripada 388 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, angka itu setakat 8 pagi hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS terbabit mendaftar menggunakan Kod QR yang disediakan di 11 PPS yang terbabit di enam daerah di negeri ini.
"Jumlah mangsa meningkat berbanding 2,039 orang daripada 341 keluarga yang dilaporkan 11 malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, jangkaan di daerah Sik, Yan dan Baling, akan ada pembukaan PPS sekiranya hujan berterusan.