National Water Research Institute of Malaysia

Berita Harian

Hujan lebat: Penduduk Taman Melawati cemas tanah runtuh, pelajar terpaksa berdiri atas meja sekolah banjir

15 October 2024

Berita HarianSafeek Affendy Razali

AMPANG: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati, hari ini.

Kejadian dilaporkan sekitar jam 11.30 pagi tadi akibat hujan lebat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada jam 11.42 pagi.

"Sebaik menerima maklumat, pihak JBPM mengerahkan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian.

 

"Tanah runtuh berlaku di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan setinggi 30 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan bomba masih mengawasi kawasan berkenaan berikutan masih berlaku pergerakan tanah di lokasi.


Sementara itu, hujan lebat di bu kota sejak pagi tadi menyebabkan antara kawasan terjejas teruk adalah sekitar Ampang di Selangor.

Kejadian banjir kilat turut dikongsikan oleh puluhan pengguna media sosial yang merakam kejadian banjir ketika mereka melalui kawasan berkenaan.


Di Jalan Parlimen, seorang pengguna media sosial merakamkan banjir berlaku dari arah Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar (Jalan Mahameru).

Hampir sebahagian besar laluan di bawah jejambat Parlimen dinaiki air sehingga menyebabkan laluan untuk menuju ke Bukit Aman dan Bukit Tunku tidak dapat digunakan.

Banjir juga turut dikesan berlaku di sebuah jejambat berhampiran Bukit Tunku, tidak jauh dari Wisma Tani, sehingga menyebabkan puluhan kenderaan yang hendak menuju ke Jalan Tun Razak, terkandas.


Dalam perkembangan berkaitan, banjir turut dikesan berlaku di pintu masuk utama Universiti Malaya (UM) melalui Lembah Pantai.

Seorang pengguna media sosial menyarankan pelajar dan petugas UM untuk menggunakan satu lagi pintu masuk utama bersebelahan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Selain banjir kilat turut menenggelamkan beberapa premis kediaman dan sekolah di kawasan sama.