PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air
(PETRA) komited memperkukuh sekuriti air negara melalui pemerkasaan teknologi dan
inovasi berasaskan saintifik, selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040)
di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk
Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan berasaskan penyelidikan dan pembuktian saintifik
menjadi teras dalam memastikan pengurusan sumber air negara lebih mampan, berdaya
tahan serta mampu menangani cabaran perubahan iklim dan peningkatan permintaan air.
Beliau berkata antara langkah strategik yang dilaksanakan ialah penubuhan Pasukan
Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) menerusi Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia
(NAHRIM) sejak akhir tahun lepas bagi menjalankan siasatan forensik berasaskan data dan
bukti saintifik untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir serta menilai keupayaan
infrastruktur sedia ada.
"Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik
berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir, menilai
keupayaan infrastruktur sedia ada, dan seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir
yang lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien,"
katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata pengurusan banjir turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi
simpanan air lebihan seperti takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semula jadi
serta kolam takungan pelbagai fungsi.
"Beberapa produk tempatan juga sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir
kepada komuniti seperti 'PETRAN (PETRA - NAHRIM) Tembok Penahan Banjir Automatik', dan
'PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih'," katanya.
Dalam usaha memastikan ketahanan bekalan air jangka panjang, Fadillah berkata PETRA
dan NAHRIM turut meneroka sumber air alternatif termasuk menaiktaraf kolam takungan
pelbagai fungsi, pemetaan sumber air tanah serta pembangunan teknologi penyahgaraman
air laut khususnya untuk kegunaan komuniti di pulau terpencil dan kawasan terpinggir.
Beliau berkata penyelidikan turut dilaksanakan melalui Projek PETRAN-SIDS di lembangan
Sungai Melaka, Pulau Langkawi yang menggabungkan aspek bekalan air, tebatan banjir dan
pembangunan eko-pelancongan sebagai model pengurusan sumber air bersepadu.
"Pada masa ini, produk minuman air hujan terawat berbungkus NAHRIM iaitu PETRAN
RAINDROPS dan CLOUDRAIN sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan," katanya.
Fadillah berkata NAHRIM memperkukuh pemantauan kualiti air melalui penggunaan
teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi membolehkan
pengesanan pencemaran dilakukan secara masa nyata.
Beliau berkata sistem Kecerdasan Buatan Ranking Penilaian Sungai bagi
Keselamatan,
Kesesuaian dan Kemampanan (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan membolehkan
tindakan penguatkuasaan dan mitigasi diambil dengan lebih pantas sebelum pencemaran
menjadi kritikal, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap sumber air negara.
'Selain itu, beberapa produk yang turut dibangunkan oleh PETRA dan NAHRIM termasuklah
'PETRAN Peranti Kualiti Air', 'PETRAN Penanda Rizab Air', 'PETRAN Produk Kawalan Sedimentasi
Sungai Semulajadi' dan 'PETRAN Produk Perlindungan Tebing dan Dasar Sungai'," katanya.
Fadillah berkata NAHRIM turut melaksanakan penyelidikan forensik pantai bagi menilai
keberkesanan sistem perlindungan terhadap hakisan pantai dan limpahan air laut, selain
membangunkan inovasi tempatan bagi memperkukuh struktur perlindungan pesisir dan
kestabilan garis pantai.
"Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) NAHRIM, aplikasi pemodelan fizikal dapat
memberikan cadangan penyelesaian berdasarkan verifikasi dan reka bentuk yang optimum
sebelum pembinaan sebenar bagi menjamin keselamatan struktur dan keberkesanan kos
projek," katanya.
Seiring usaha memperkukuh ekosistem pengurusan air negara, beliau berkata PETRA telah
mewujudkan Hab Air Kebangsaan yang akan mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan
pembangunan sumber air bagi menjadikan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang
2040.
"Dengan komitmen penuh NAHRIM sebagai agensi pelaksana, kerjasama ini menggabungkan
kepakaran teknikal dan infrastruktur penyelidikan untuk mengatasi cabaran pengurusan air
di Malaysia," katanya.
Fadillah berkata melalui komitmen bersama itu, PETRA dan NAHRIM membuktikan dedikasi
dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pengurusan dan
penyelidikan sumber air serantau.
-- BERNAMA