National Water Research Institute of Malaysia

Berita Harian

Kejayaan IWK di Sepanyol bukti komitmen negara perkukuh pengurusan air, sanitari secara mapan

22 May 2026

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengiktirafan antarabangsa kepada Indah Water Konsortium (IWK) mencerminkan komitmen negara memperkukuh pengurusan air dan sanitasi secara mapan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha memperkukuh aspek itu selaras Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

"Semoga kejayaan ini terus menyuntik semangat untuk memperkukuh usaha membina negara lebih lestari, inklusif dan sejahtera demi generasi akan datang," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Semalam, IWK iaitu syarikat pembentungan nasional dilaporkan menjuarai Anugerah SDG6 pada Anugerah Air Global 2026 di Madrid, Sepanyol pada Selasa lalu.

Anugerah itu bagi mengiktiraf penyertaan syarikat bagi 'Solar-powered Sanitation: No Upfront Cost, Cuts Emissions' yang mempamerkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu memperkukuh prestasi operasi rawatan air sisa kumbahan, selain memacu pembangunan infrastruktur mapan serta memperkukuh daya tahan kewangan.

Program yang memenangi anugerah itu membabitkan pelaksanaan sistem tenaga solar di 16 loji rawatan kumbahan di seluruh negara menerusi model inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Inisiatif itu menjana kapasiti tenaga solar sebanyak 6.3 megawat puncak (MWp) dan menghasilkan kira-kira 7,700 megawat sejam (MWh) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun bagi menyokong rawatan hampir 148 juta meter padu air sisa kumbahan setiap tahun.

Inisiatif itu dijangka menjimatkan hampir RM41.8 juta kos elektrik daripada grid, selain mengurangkan lebih 5 gigaram (Gg) pelepasan karbon dioksida setiap tahun.