Author
Wan Hasmah W. M., Norsham A. L., Wong C. C, Ismail Harun, Suhaili R., Abang Ahmad A. M., Muhamad Kamal Azidy M., Raja Barizan R. S., Nor Aslinda Awang, Mohd Parid M.
Dirian hutan yang wujud di sepanjang pesisiran pantai memainkan peranan yang amat penting kepada kesejahteraan penduduk pesisir yang tinggal berhampiran dengan pantai dari segi sosio-ekonomi, alam sekitar dan keselamatan. Kawasan ini juga menjadi habitat penting kepada flora dan fauna serta hidupan marin. Di samping itu, ianya merupakan lapisan zon semulajadi yang melindungi pesisir pantai dari kuasa fizikal alam seperti ombak, arus dan ribut taufan serta mencegah dan mengurangkan kadar hakisan pantai. Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara yang telah dilaksanakan sejak tahun 2005 adalah salah satu program nasional jangka panjang bertujuan untuk mencapai objektif dan keberhasilan (outcome) iaitu: supaya pesisir pantai menjadi lapisan pelindungan semulajadi yang stabil, mencegah kemusnahan disebabkan hakisan tanah, pukulan ombak dan tiupan angin kencang, pemuliharaan habitat dan kepelbagaian biologi serta kawasan zon penampan yang kukuh dan stabil. Sepanjang tahun 2005 hingga 2012, sejumlah 6.3 juta pokok bakau san spesies-spesies yang sesuai telah ditanam se sepanjang pesisiran pantai negara dengan jumlah keluasan 2,383 hektar. Kajian penilaian outcome program ini telah dilaksanakan pada tahun 2013 bagi menilai pencapaian sasaran output dan outcome. Berdasarkan kajian yang dijalankan, program ini telah Berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan seperti berikut :- Pertama, untuk memelihara pesisiran pantai sebagai lindungan semulajadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah. Kajian mendapati bahawa 78% lokasi yang ditanam telah mencapai tahap stabil manakala 22% lokasi dijangka stabil dalam tempoh 2 hinga 3 tahun. Dari aspek litupan silara, 62% lokasi yang ditanam telah mempunyai litupan silara yang baik, manakala 38% dijangka mempunyai silara yang baik dalam tempoh 3 hinga 5 tahun. Disamping itu, program ini memberi manfaat dengan melindungi penduduk di sekitar 61 buah mukim yang melibatkan 201 buah kampong di Semenanjung Malaysia. Purata jumlah penduduk yang terlibat adalah sekitar 100,000 orang per mukim. Kedua, untuk mewujudkan zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar. Kajian mendapati kawasan hutan pesisir pantai mampu menjadi zon penampan dimana terdapat 28 kawasan yang ditanam dengan pokok bakau mempunyai kelebaran zon penampan melebihi 100 meter. Di samping itu, terdapat 6 kawasan yang ditanam dengan pokok rhu dan spesies-spesies lain mempunyai kelebaran zon penampan melebihi 100 meter. Ketiga, untuk memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai. Kajian mendapati terdapat 409 lokasi telah dipulihkan yang menjadi korodor kepelbagaian biologi. Di samping itu, hasil kajian penilaian karbon mendapati pokok bakau yang berumur 4 hingga 13 tahun mampu menyimpan karbon di antara 7.25 hingga 83.35 tan kabon dengan kadar sekuestrasi karbon adalah antara 1.7 hingga 6.0 tan karbon per hektar setahun. Bagi pokok rhu dan spesies-spesies lain yang berumur 4 hingga 7 tahun pula mampu menyimpan karbon di antara 3.02 hingga 103.62 tan karbon dengan kadar sekuestrasi karbon adala antara 1.7 hingga 6.0 tan karbon per hektar setahun. Keempat, untuk meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong. Kajian memdapati 6 kawasan yang terpulih telah dibangunkan sebagai kawasan yang sesuai untuk aktiviti rekreasi, ekopelancongan serta tapak pembelajaran dan penyelidikan. Kawasan yang terlibat ialah di Seberang Pintasan, Dungun, Terengganu; Delta Kelantan, Tumpat, Kelantan; Pantai Segari, Manjung, Perak; Seberang Jaya, Perlis; Pantai Penarek, Setiu, Terengganu; dan Parit Unas Laut, Muar, Johor. Kajian sosio-ekonomi dari aspek pendapatan isirumah, pengurangan kadar kemiskinan, tingkat kesanggupan membayar bagi tujuan konservasi dan anggaran nilai stok karbon telah dijalankan di Delta Kelantan. Secara keseluruhannya, program ini telah memberi impak positif secara langsung kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat. Kelima, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan ekosistem HPL. Program ini telah berjaya melibatkan sejumlah 32,115 orang dalam aktiviti penanaman pokok dan kempen kesedaran di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, nelayan, penduduk pesisir pantai, jabatan/agensi Kerajaan, NGO dan pihak swasta. Sejak tahun 2005, sebanyak 11 pertubuhan/NGO tempatan telah terlibat secara aktif secara kerjasama dengan NRE dalam pelbagai aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem HPL. Bagi menyokong pencapaian objektif program secara menyeluruh, sebanyak 52 penerbitan yang terdiri daripada buku-buku panduan penanaman, laporan hasil kajian R&D, laporan tahunan dan prosiding seminar telah menjadi rujukan rasmi pelbagai pihak di peringkat persekutuan dan negeri. Kesimpulannya, sasaran output dan outcome program ini telah berjaya dicapai dan memberi manfaat kepada kumpulan sasar dan kelangsungan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai negara. Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem pesisiran pantai merupakan satu tanggungjawab yang mencabar dan berhadapan dengan persekitaran yang dinamik dan berisiko tinggi yang memerlukan perancangan yang rapi, peruntukan kewangan yang besar, teknologi yang bersesuaian dan kesedaran di kalangan masyarakat. Justeru, usaha memelihara dan memulihara akan diteruskan di masa akan datang dan semestinya outcome daripada program ini akan lebih signifikan kepada kesejahteraan hidup masyarakat dan kestabilan alam sekitar.
Warna Teks
A A A ASaiz Teks
A+ A A-